Hubungan Tidak Direstui Ibu Bapa Harus Kita Tempuh

Memang kisah cinta anda tidak semudah kisah cinta hero dan heroin filem Hindi yang akhirnya pasti bersatu. Jangan patah semangat! Berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan kekasih hati tetapi terhalang kerana ibu bapa tidak merestui? Memang kisah cinta anda tidak semudah kisah cinta hero dan heroin filem Hindi yang akhirnya pasti bersatu.

Jangan patah semangat! Tidak mustahil, anda dan kekasih hati juga mampu menjadi bak kisah romantik hero dan heroin cerita Hindi. Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah bersabar, berusaha dan berdoa. Bersabar bererti anda jangan melawan cakap ibu bapa anda yang menghalang hubungan anda dengan si dia. Kesnya mudah sahaja. Katakan ibu atau bapa anda memarahi anda kerana masih berhubungan dengan si dia. Kemarahan itu pula mendapat jawapan balas daripada anda.

Apa fikiran dan pandangan ibu atau bapa anda kepada anda dan si dia? Ya! Ibu bapa anda akan beranggapan anda telah berubah, tidak lagi sayangkan atau hormatkan ibu bapa sendiri malah sanggup menentang mereka semata-mata kerana anda mempunyai si dia. Kalau belum menjadi pasangan yang sah sudah mampu mempengaruhi keputusan anda, bagaimana jika telah menjadi teman hidup hingga ke akhir hayat?

Bukan sahaja tentang sikap anda malah ibu bapa akan berpandangan bahawa bakal teman hidup anda adalah seorang yang boleh merosakkan hidup dan masa depan anda. Bayangkanlah apa yang boleh dilakukan oleh seseorang yang mampu mengeruhkan hubungan antara anak dengan ibu bapanya? Lantas, jalan terbaik ialah bersabar. Bukan seekadar bersabar, anda juga perlu berusaha.

Kebanyakan kes hubungan terlarang ialah kerana ibu bapa anda tidak begitu mengenali bakal teman hidup anda itu. Tambah pula seekiranya di dalam minda mereka telah ada cadangan pasangan yang terbaik untuk anda.

Peranan anda amat penting bagi mengatasi masalah ini. Kenalkan bakal teman hidup anda itu kepada ibu bapa anda. Mungkin buat pertama kali agak payah terutama bagi kes-kes yang ibu bapa mengharamkan terus nama bakal pasangan anda disebut di depannya. Tak mengapa, terus bersabar dan jangan putus asa. Jika hanya ibu yang berkeras, kenalkan dulu kepada bapa. Begitu juga sebaliknya.

Jika tak boleh dikenalkan terus kepada ibu bapa atau salah seorang daripada mereka, kenalkan pula kepada adik beradik anda atau siapa sahaja yang anda yakin boleh menolong anda mempengaruhi keputusan ibu bapa anda.

Jika masih tidak berjaya, di sinilah kesungguhan anda teruji. Anda perlu minta satu peluang daripada ibu bapa anda untuk mengenali siapa pilihan hati anda. Jangan takut dan jangan putus asa. Mencuba adalah lebih baik daripada berdiam tanpa apa-apa tindakan dan hanya menerima keputusan. Paling penting, anda perlu pastikan kesabaran anda memang berada pada tahap yang optimum. Tika ini memang kesabaran anda akan teruji bila ibu bapa mengeji atau memperlekehkan pilihan hati anda.

Biarkan ibu bapa anda meluahkan emosi mereka. Jangan anda terpengaruh dan terikut-ikut dengan cara mereka. Bertenang dan teruskan bersabar. Perkara ketiga, berdoa. Doa adalah senjata yang paling utama. Bukan berdoa mohon sikap ibu bapa anda berubah dan menerima pilihan hati anda sebaliknya anda perlu berdoa mohon yang terbaik. Anda boleh berdoa: “Ya Allah! Aku sayangkan dia (sebut namanya).

Aku ingin hidup bersamanya sebagai pasangan yang halal di sisi-Mu. Seekiranya dia adalah jodohku yang baik, baik juga untuk ibu bapaku dan hidupku seterusnya, aku mohon Kau mudahkan urusan jodohku ini. Namun seekiranya dia bukan jodoh yang baik untukku,tak baik juga untuk ibu bapaku dan masa depanku seterusnya, kau berikan aku kekuatan untuk redha menerima ketentuan-Mu ya Allah.” Sumber dari ikahwin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *